
Dapatkan Mesej Bergambar di Sini
| Mohd Fadli Ghani Mon | Apr 13, 09 | 2:40:12 pm MYT | |
| SALAH seorang ulama besar Perak yang bersama-sama mengasaskan PAS pada 1951 selain Mufti Haji Ismail Hamzah, Sheikh Zubir al-Filfulani, Mufti Haji Ghazali Abdullah, Tuan Guru Haji Mohd Arshad Mohd Salleh dan Tuan Guru Haji Abdul Samad Nuh ialah Tuan Guru Dato� Haji Ghazali Arshad atau lebih masyhur namanya sebagai Tuan Guru Haji Ghazali Batu 26. Penglibatan para ulama terkenal ini dalam PAS telah meletakan PAS sebagai sebuah parti yang berpengaruh di Perak dan negeri ini menjadi kubu kuat PAS pada dekad 1950-an. Tuan Guru Haji Ghazali walaupun lebih terkenal kerana institusi pendidikannya di Batu 26, Bagan Datoh dan kegiatan dakwah beliau sebagai penasihat Sultan Perak dalam soal agama, beliau sebenarnya pakar rujuk PAS dalam soal hukum agama. Tuan Guru Haji Ghazali bin Arshad bin Muhamad Rashid bin Sheikh Mansur telah dilahirkan di Pasir Panjang Laut, Setiawan Perak pada 13 Rabiul Akhir 1319 Hijriyah (1901). Moyangnya Sheikh Mansur berasal dari Yaman, manakala ibunya, Hajah Puteri Madinah Mat Saman berketurunan Megat Terawis, pahlawan Perak yang terkenal itu. Walaupun bapanya tinggal di luar bandar tetapi mempunyai kesedaran agama yang tinggi kerana di sekitar Setiawan ketika itu terdapat beberapa orang ulama seperti Kadi Haji Alias Hussein (ayahanda Dr Haji Abbas Alias, bekas Yang Dipertua Agung PAS) dan Kiyai Haji Abdul Latif Abdul Hamid (ayahanda Ustaz Baharuddin Latif, bekas Setiausaha Agung PAS). Pada awalnya, Haji Ghazali dihantar belajar di Sekolah Melayu Pasir Panjang Laut selama lima tahun. Pada 1912, beliau dimasukkan ke Pondok Lubuk Merbau, kemudian berhijrah ke Kedah kerana berguru dengan Tuan Hussin Kedah di Pondok Bagan Ulu, Pantai Merdeka dan Pondok Selengkoh, Sungai Limau, Yan. Setelah itu, beliau mengambil masa lima tahun lagi untuk mendalami ilmu agama di Madrasah al-Masriyah, Tanah Liat, Bukit Mertajam di bawah bimbingan Sheikh Salleh Masri sehingga 1919. Setelah pengajian peringkat asas ditamatkan, Tuan Guru Haji Ghazali bertolah ke Makkah kerana mahu menambahkan lagi ilmu agamanya. Di Makkah beliau mengambil kesempatan untuk menadah kitab dengan ulama-ulama di Masjidil Haram. Dalam masa yang sama, Haji Ghazali telah memasuki Madrasah Shaulatiyah al-Hindiyah, sebuah pusat pendidikan Islam yang terkenal di Makkah ketika itu dan dikendalikan oleh ulama-ulama anti-British dari India. Selepas empat tahun, beliau lulus Syahadah Nihayah pada 1926. Haji Ghazali tidak terus pulang, sebaliknya menyambung pengajian dalam halaqat ulama di Masjidil Haram dan pusat pengajian lain di Makkah sehingga 1930. Antara gurunya di Makkah ialah Sheikh Hassan al-Masyat, Pak Da Ail al-Fathani, Sheikh Muhammad Ali al-Maliki, Sheikh Ahmad Khurasan, Tuan Guru Haji Abdul Rahman Merbok, Sheikh Harun Kambang Minangkabau, Syed Hussin Abdul Nabi, Sheikh Ibrahim Zaidan dan Sheikh Mokhtar Atarid. Selepas 11 musim haji menggali ilmu di Makkah, barulah beliau pulang di Malaya. Beliau dikatakan alim dalam ilmu balaghah, mantik, falakiah, tafsir, hadis dan fekah. Selepas kembali ke Tanah Melayu, Haji Ghazali menyambung pengajiannya dengan Tuan Hussin Kedah di Pondok Pokok Sena, Seberang Prai dan sempat bersama dengan Tuan Guru Haji Ahmad Tuan Hussin, bekas Bendahari Agung PAS. Sebaik sahaja pulang ke Perak, Haji Ghazali telah melangsungkan perkahwinan dengan Hajah Zabedah Haji Salleh. Ketika itu juga, beliau memasang tekad untuk membuka pusat pengajian sendiri. Dengan menggunakan bangsal kendurinya, beliau mengasaskan Madrasa ad-Diiniah di Kampung Matang Kunda, Bagan Datoh iaitu di rumah mentuanya. Penubuhan ini disokong kuat oleh iparnya, Haji Arshad Haji Salleh sehingga Haji Ghazali menamakan madrasah tersebut sebagai Madrasah Irshadiyah Diiniyah. Di peringkat awal madrasah ini mengajarkan ilmu-ilmu asas Islam seperti fiqh, usuluddin, akhlak, tajwid dan bahasa Arab. Bagaimanapun pada 1935, madrasah ini telah berpindah ke Hujung Matang atau sekarang ini lebih dikenali sebagai Batu 26, Bagan Datoh. Sejak itu, Tuan Guru Haji Ghazali menghabiskan perjuangannya membangunkan generasi baru Islam di madrasah ini seingga akhir hayatnya. sembah derhaka Nama Haji Ghazali terkenal dengan cepat di Perak selepas pembukaan madrasah ini. Hal ini menarik perhatian Sultan Iskandar Alang Shah. Pada 1935 baginda mahu melantik beliau sebagai guru agama kepada Sultan Perak. Bagaimanapun beliau memohon sembah derhaka dengan menolak permintaan Sultan itu. Haji Ghazali kemudian dilantik oleh Sultan Perak sebagai Ahli Majlis Ulama Perak pada 1936. Bagaimanapun kegiatan dakwah beliau terganggu pada 1942 ekoran meletusnya Perang Dunia Kedua yang menyebabkan keluarganya terpaksa berpindah ke Sungai Manik. Pada 1946 madrasah ini dibuka semula dan menerima pelajar dari seluruh negara. Pada 1960, Haji Ghazali telah mengetuai jawatankuasa yang dianggotai oleh pelajar-pelajar untuk mencari dana bagi membina bangunan baru. Akhirnya pada 1970, madrasah ini berwajah baru dengan nama Sekolah Menegah Agama Irshadiyah Persendirian, dan pada 1998 madrasah ini diambil alih oleh Kementerian Pelajaran. Sekolah Menegah Agama Irshadiyah telah memperkenalkan sistem pembelajaran agama dan Arab pada sesi pagi, manakala kelas akademik di sebelah petang. Sijil keluaran madrasah ini, iaitu Syahadah Thanawi telah mendapat pengiktirafan Universiti al-Azhar. Dalam pada itu juga, madrasah ini telah menjadi pusat kegiatan Kesatuan Pelajar Islam Perak (KPIP) semenjak awal 1960-an lagi. Selain memberikan tumpuan kepada kegiatan dakwah khassah di madrasah ini, beliau juga memberi tumpuan kepada dakwah am seperti mengajar di masjid-masjid dan terlibat dalam kegiatan masyarakat. Kerana keilmuan beliau, pada 1964 Sultan Perak telah menawarkan beliau jawatan Mufti Perak, tetapi beliau sekali lagi memohon sembah derhaka menolak tawaran itu kerana ingin memberi tumpuan kepada madrasahnya. Pada 1976, beliau dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Menilai Darjah Kealiman Calon-calon Mufti Kerajaan Negeri Perak yang memilih bekas Imam Besar Masjid Negara, Haji Ghazali Abdullah yang juga bekas Timbalan Yang Dipertua Agung PAS sebagai Mufti Perak pada 1977. Selain kgiatan dakwah ini, Haji Ghazali juga terlibat dalam kegiatan politik semenjak di Makkah lagi. Beliau sebagi pelajar lepasan Madrasah Shaulatiyah mempunyai semangat antipenjajah yang kuat. Kerana itu, beliau mendukung perjuangan Hizbul Muslimin pada 1948 dan terlibat secara aktif dalam Majlis Ulama Hilir Perak. Majlis ini bertanggungjawab mencadangkan kepada Umno supaya mengadakan Persidangan Ulama Se-Malaya pada 1950. Setelah Persatuan Ulama Se-Malaya ditubuhkan pada 23 Ogos 1951, Haji Ghazali menjadi salah seorang pengasas PAS apabila beliau turut menyertai Persidangan Persatuan Ulama Se-Malaya di Butterwoth pada 24 November 1951. Dalam persidangan ini nama persatuan ini diubah kepada Persatuan Islam Se-Malaya (PAS). Haji Ghazali tidak pernah memegang jawatan tinggi dalam PAS kerana memberikan tumpuan kepada madrasahnya. Namun begitu, beliau telah menjadi tempat rujukan pimpinan PAS dalam hukum-hakam agama. Pada 1962, beliau dilantik menganggotai Jawatankuasa Tarjih Dewan Ulama PAS Pusat, iaitu sebuah jawatankuasa yang bertanggungjawab dalam soal hukum agama seumpama majlis fatwa PAS. Penlibatan Haji Ghazali bersama PAS berterusan sehingga akhir hayatnya walaupun beliau tidak menonjol dalam kepemimpinan parti. Selepas bersara daripada kegiatan pendidikan kerana usia lanjut, Haji Ghazali mentelaah kitab-kitab agama di sebuah pondok berhampiran Madrasah Irshadiyah. Kerana sumbangan besar beliau dalam dunia dakwah dan pendidikan, pada 1989 Tuan Guru Haji Ghazali dianugerahkan sebagai Tokoh Ulamak Silam oleh UKM, diikuti oleh anugerah Tokoh Maal Hijrah Hilir Perak (1989), Tokoh Maal Hijrah Negeri Perak (1990) dan anugerah Dato� Paduka Mahkota Perak (DPMP) oleh Sultan Perak pada 1992 yang membawa gelaran Dato�. Lima tahun kemudian, iaitu pada 10 Mei 1997, Tuan Guru Dato� Haji Ghazali Arshad telah meninggal dunia dalam usia 98 tahun. Antara muridnya yang terkenal ialah Tuan Guru Haji Abdul Samad Noh, Ketua Dewan Ulama PAS, Tuan Guru Haji Hashim Abu Bakar (Mudir Pondok Pasir Tumbuh, Kelantan) dan Prof Madya Dato� Salleh Haji Ahmad, bekas Yang Dipertua Persatuan Ulama Malaysia (PUM) yang juga bekas Ahli Majlis Syura Ulama PAS.- tajdid_ |
| Dalam sepotong hadis ada disebutkan tentang kekuatan ekonomi yang jatuh ke tangan orang-orang yang jahat. Sebenarnya, inilah antara sebab kenapa umat Islam di seluruh dunia tertindas, semakin lemah kekuatan politik dan ekonominya. Apabila orang Islam semakin lemah politik dan ekonominya, secara tidak langsung lemahlah kebudayaan dan bahasanya. Daripada Ibnu Omar r.a berkata: "Pada suatu masa dibawa ke hadapan Rasulullah s.a.w sepotong emas. Dan emas itu adalah emas zakat yang pertama sekali dikutip. Emas itu telah dibawa oleh Bani Sulaim dari tempat tambang (galian) mereka. Maka sahabat berkata: "Hai Rasulullah! Emas ini adalah hasil dari galian kita." Lalu, Nabi s.a.w menjawab, "Nanti kamu akan dapati banyak galian-galian, dan yang akan menguruskannya adalah orang-orang yang jahat." [Hadis riwayat al-Baihaqi.] --- [Hadis ke-26] Menurut keterangan ringkas daripada Ustaz Fahmi Zam Zam.. "Tepat sekali apa yang telah disabdakan oleh Rasulullah s.a.w sejak lima belas abad yang lalu. Hari ini dunia Islam sangat kaya dengan galian bumi seperti emas, perak, timah, petrol dan lain-lain, tetapi yang menguruskan dan yang menguasainya adalah orang-orang yang bukan Islam. Ini adalah suatu realiti yang sangat jelas di mata kita dan merupakan salah satu petanda hampirnya hari kiamat." Kalau kita melihat situsi hari ini, galian emas banyak wujud di Amerika Syarikat. Itu suatu contoh. Namun, dalam sudut lain pula, Tuhan memberikan galian minyak yang banyak terhadap negara Islam. Ternyata yang mengendalikan urusan galian itu adalah orang bukan Islam pula. Contoh ini ada dalam negara kita sendiri. Harta adalah sejenis kekuatan dan ia merupakan salah satu sendi kekuatan agama. Maka hendaklah setiap Muslim, Muslimah selalu berikhtiar untuk mencari kekuatan ekonomi peribadi, menyusun ekonomi keluarga sekali gus membentuk daya ekonomi umatnya. Apabila harta ini jatuh ke tangan lelaki yang soleh, maka separuh daripada masalah dunia akan selesai. Perang-perang di Afghanistan, Iraq yang dicipta oleh Amerika Syarikat telah menelan belanja trilionan, berlaksa-laksa dan hal ini tidak mungkin terjadi jika harta itu jatuh ke tangan orang-orang yang beriman. Harta yang baik di tangan lelaki yang baik Merujuk hadis di atas, ada empat keadaan yang berkaitan dengan harta dan manusia yang memeliharanya. Pertamanya, insan yang baik dan dia memegang duit yang baik. Kedua, insan yang baik, tapi dia memegang duit yang haram. Ketiga, orang yang jahat dan memegang duit, harta yang baik. Keempat, orang yang jahat dan menyelia wang, harta haram. Paling baik, menurut hadis di atas ialah lelaki yang baik dan beliau menjaga harta yang baik. Sementara, keadaan yang buruk ialah apabila ada lelaki jahat yang menyelenggarakan wang, harta yang haram. Sebenarnya wang yang halal atau wang daripada sumber yang tidak baik, akan disalurkan kepada tujuan yang baik juga jika wang, harta itu jatuh ke tangan lelaki yang baik. Manakala di tangan orang yang jahat pula, wang haram atau harta yang baik sekali pun tetaplah dipergunakan pada tujuan yang salah. Kesimpulannya, wang tidak boleh dipersalahkan kerana ia tidak boleh dipertanggungjawabkan ke arah manakah ia dipergunakan. Yang boleh membuat keputusan ke arah mana duit halal atau haram itu dibelanjakan ialah manusia yang menyelenggarakan wang itu tadi. Baik manusia itu, maka baiklah kepenggunaan wang itu. Demikianlah sebaliknya. "Apabila kamu diberi sesuatu tanpa kamu minta, maka pergunakanlah (makanlah) dan sedekahkanlah sebahagiannya." (Muslim) Hukuman ke atas mereka yang tidak menggunakan harta ke arah yang betul memang mengazabkan dan menyakitkan. Kita pernah terdengar kisah bagaimana kaum-kaum dan umat terdahulu yang dihancurkan Tuhan oleh kerana mereka menyalahgunakan harta milik peribadi pada jalan yang salah. Apabila negara itu menggunakan wang-wangnya untuk membangunkan pelacuran sebagai suatu industri perniagaan, menjadikan arak sebagai barang dagangan, maka kehancuran menimpa negara dan kaum itu. Demikianlah peristiwa yang ditulis di dalam al-Quran. Namun, umat Muhammad ini diberikan penangguhan melalui doa Rasulullah s.a.w sendiri. "Mereka yang mengumpulkan harta dengan tidak benar, maka Allah akan memusnahkannya dengan air dan tanah." (Riwayat Al-Baihaqi) Melalui air dan tanah, Tuhan akan menghukum mereka yang tidak menggunakan harta dengan baik, betul dan benar. Qarun di zaman Nabi Musa a.s misalnya telah dihukum Tuhan dengan menenggelamkannya bersama para pengikutnya di dalam tanah. Malah, Fir'aun yang menggunakan harta kekayaannya secara tidak benar, menindas hamba di muka bumi ini telah mati lemas di Lautan Merah. Bani Israel diperhambakan untuk membangunkan pembinaan piramid, dan mereka tidak diberikan upah gaji. Ini adalah salah satu contoh pengendalian harta yang tidak betul. Kaum buruh dan para pekerja itu sepatutnya diberi upah dan gaji. Tetapi, Fir'aun sebaliknya memperhambakan mereka. Apabila harta-harta (emas, minyak dan lain-lain) yang digali dari tanah itu tidak dimanfaatkan dengan baik, maka tanah dan air itu nanti akan bertindak. Apakah kejadian tanah runtuh, banjir yang kerap berlaku itu terkait dengan salahguna wang yang tentunya berkaitan juga dengan salahguna kuasa? Di Amerika Syarikat, kerap kita dengar berita dan kejadian ribut, puting beliung dan banjir yang terjadi besar-besaran di sana. Kita boleh menanggapi hal ini sekadar bencana alam yang tiada kaitan dengan dosa pemimpinnya. Tapi bila kita melihat banyak kejahatan yang bermuara dari negara itu dan kuasa dunia itu mencetak sejarah perang demi perang berterusan, maka terfikir juga bahawa ada rasionalnya ribut taufan, tanah runtuh serta banjir teruk menghempap mereka. Walaupun ada pihak menyatakan bahawa kejadian itu cuma sekadar bencana alam dan bukannya hukuman Tuhan. Perang memerlukan dana yang banyak. Dan, Amerika menyalahgunakan wang untuk perang! Negara itu juga telah 'berkempen' dengan memaksa anak-anak mudanya menyertai pasukan tentera untuk dikirim ke medan perang di Iraq, Vietnam sebelum ini tanpa kerelaan mereka. Amerika dengan segala galian minyaknya, galian emas dan sebagainya telah digunakan untuk memerangi umat Islam sendiri. Maka, demikianlah akibat bagi mereka yang menggunakan wang, harta dan segala galian di bumi dengan tujuan yang salah._ |
| Kenapa Zionisme muncul dalam fikrah Melayu? |
| Hishamuddin Rais |
| Sewaktu saya menulis artikel ini, Kuala Terengganu telah jatuh ke tangan Pakatan Rakyat. Ketika saya menulis, warga Palestin di Gaza masih lagi digodam. Ketika saya menulis, masih ramai lagi warganegara kita ini kurang faham tentang apakah itu Zionisme. Zionisme ini satu pandangan politik. Zionisme bukan orang Yahudi tetapi pengasas Zionisme memang seorang Yahudi. Hari ini Zionisme bukan lagi milik eksklusif orang Yahudi. Zionisme yang wujud dan sedang menggodam rakyat Palestin ini majoritinya didukung hebat oleh individu dan kumpulan yang bukan Yahudi. Agama Yahudi ialah Judaism. Kitab suci agama ini adalah Torah. Rumah sembahyang penganut agama ini dipanggil synagogue. Kepala agama mereka dipanggil rabbai. Maklumat ini mungkin semua telah diketahui umum. Wajib juga diketahui bahawa ramai orang Yahudi sendiri yang menentang Zionisme. Di Isreal sendiri ada kumpulan penganut Judaisme yang menentang keras fahaman Zionisme. Mereka menolak masuknya fahaman Zionisme ini ke Palestin. Untuk kumpulan ini, mereka percaya bahawa fahaman atau ideologi Zionisme telah membawa porak-peranda dan kesengsaraan terhadap orang-orang Yahudi di seluruh dunia dan juga kesengsaraan yang tidak terhingga kepada warga Palestin. Kumpulan ini bernama Neturei Karta – mereka ini pada 2006 telah datang ke Iran atas jemputan Ahmadinejad, presiden Iran. Neturei Karta bersama rakyat dunia telah mengutuk negara yang dipanggil Israel. Neturei Karta adalah kumpulan Yahudi yang menyokong perjuangan adil rakyat Palestin. Mereka juga menentang Zionisme bermatian-matian. Perkembangan ini menjadi satu bukti bahawa Zionisme bukan ajaran Judaisme. Zionisme adalah falsafah yang menggunakan agama sebagai jubah untuk mengabui mata penganut agama Judaisme. Ramai pemikir dan intelektual Yahudi yang unggul dalam ilmu pengetahuan dan falsafah juga menentang fahaman Zionisme. Noam Chomsky seorang daripada mereka. Susuk intelektual ini adalah suara Yahudi yang paling lantang menentang keganasan Israel. Albert Einstein ahli sains yang menemui teori e=mc2 seorang lagi Yahudi yang anti-Zionisme. Di Israel sendiri, ramai orang Yahudi-Israel yang menentang fahaman tersebut. Mordechai Vanunu adalah contoh terbaik warga Isreal yang menentang Zionisme. Susuk ini telah membocorkan kepada dunia tentang senjata nuklear Israel yang kini tersimpan secara rashia di padang pasir Negev. Vanunu diperangkap dan diculik dari London untuk dibawa pulang ke Israel. Kerana membocorkan rashia 'bom nukelar' Israel dan memberi amaran kepada dunia tentang bahayanya Zionisme, Vanunu telah dipenjara selama 20 tahun sejak 1986. Selama 18 tahun Vanunu dikurung bersendirian. Apabila dibebaskan, Vanunu terus ditahan lagi. Hingga ke hari ini Vanunu tidak boleh keluar meninggalkan Israel. Pada ketika saya menulis ini, berpuluh-puluh anak muda Israel yang sedang dipenjara kerana tidak mahu mengangkat senjata membunuh warga Arab Palestin. Juga terdapat beratus-ratus anak muda dan warga Israel telah lari meninggalkan negara itu kerana menentang perang dan keganasan daulah Israel. Semua ini bukti bahawa bukan semua Yahudi itu Zionis. Bukan semua Yahudi menyokong Israel. Saya mengulangi ini kerana saya perhatikan terlalu ramai warga Malaysia menganggap konflik Palestin-Israel sebagai konflik agama, terutama di kalangan Melayu. Pandangan ini salah. Konflik di Palestin bukan konflik agama. Konflik ini konflik hak milik bumi tanah Palestin. Ia lahir kerana bumi Palestin telah dirampas oleh penganut fahaman Zionisme untuk mendirikan apa yang kini dipanggil Israel. Konflik di Gaza, Tebing Barat, Jenin, Hebron – umumnya konflik Arab-Israel – bukan konflik antara penganut Islam dengan penganut Yahudi. Wajib diketahui ada hampir 10 peratus warga Palestin beragama Kristian. Hanan Ashrawi perempuan yang pada 1980-an sering kita dengar namanya kerana memulakan rundingan damai Palestin-Israel ialah seorang Kristian. Edward Said intelektual bertaraf dunia itu seorang Kristian. George Habaash pemimpin Popular Front for Liberation of Palestine beragama Kristian. Kristian di Palestin adalah Kristian yang berasal-usul dari susur galur pengikut Isa kerana nabi itu dilahirkan di Nazareth, Palestin. Betul, agama dilihat memainkan peranan penting tetapi yang diperjuangkan ialah menuntut kembali bumi Palestin yang telah dirompak dan dirampas oleh penganut Zionisme. Tanah air Palestin yang telah dirampas ini melahirkan nasionalisme Palestin. Semangat nasionalisme inilah yang membolehkan rakyat Palestin terus berjuang bermati-matian menentang bala tentera yang terbesar di Timur Tengah. Kita wajib memahami dengan lebih mendalam tentang apa itu Zionisme. Fahaman ini percaya kepada satu bangsa – Yahudi. Hanya bangsa Yahudi sahaja yang terpilih. Yahudi sahaja yang ada hak keistemewaan di Israel. Bangsa-bangsa lain diangggap bangsa kelas kedua. Agama orang lain salah. Kitab suci agama mereka sahaja yang betul. Kitab suci agama lain dianggap menyeleweng. Hanya agama mereka sahaja yang dipilih oleh Yang Maha Esa. Justeru, di sini jelas bahawa Zionisme ialah satu fahaman rasis. Apa yang kita lihat di Gaza dan Tebing Barat hari ini adalah manifestasi daripada fahaman ini. Keganasan yang wujud di Palestin adalah hasil daripada falsafah rasis Zionisme. Merompak tanah-tanah warga Palestin, menghalau mereka keluar dari tanah air mereka juga manifestasi dari fahaman rasis ini. Kita dikatakan hanya dapat memberikan bantuan ubatan-ubatan, wang ringgit, makanan atau menerima warga Palestin datang ke negara kita untuk belajar atau menetap. Semua ini betul. Semua ini amat-amat dihargai. Semua ini adalah kerja baik yang wajib diteruskan. Tetapi saya menolak pandangan yang mengatakan bahawa kita tidak dapat membuat apa-apa lagi untuk menyokong perjuangan rakyat Palestin. Pasti ada lebih daripada ini yang dapat kita sama-sama lakukan. Pada hari ini bukan susah untuk kita memahami bahawa pendukung unggul fahaman Zionisme dan Israel ialah Amerika Syarikat. Ini bukan kerana adanya Yahudi di New York atau California. Zionisme wujud kukuh di Amerika kerana kepentingan ekonomi Amerika pada ketika ini berjalan selari dengan kepentingan Zionisme dan Israel. Bukan sahaja Zionis Israel mendapat sokongan kuat dari Amerika, malah Kesatuan Eropah – Perancis, Jerman, Itali – semuanya menyokong Israel. Ini bukan kerana mereka cintakan Yahudi atau benci kepada Palestin – TIDAK. Mereka menyokong Israel kerana kepentingan ekonomi mereka. Ekonomilah yang menjadi asas kepada fahaman Zionisme ini. Pemodal–pemodal global melihat bahawa Zionisme dapat membantu mereka meneruskan dan mengembangkan modal mereka. Kaum pemodal antarabangsa melihat fahaman Zionisme ini sedang memberikan keuntungan melimpah ruah. Industri persenjataan dunia bergantung kepada perang. Dengan wujudnya perang atau konflik yang berkemungkinan membawa perang adalah cuaca dan suasana yang amat baik untuk pembuat dan peniaga senjata antarabangsa. Israel yang sedang memporakperandakan Timur Tengah adalah pemangkin perang. Lihat bagaimana Amerika menjual dan membekal senjata kepada Isreal - ia menakut-nakutkan negara-negara Arab. Suasana takut ini memberi peluang kepada Amerika untuk menjual senjata kepada Mesir, Jordan dan Arab Saudi. Negara-negara ini tidak ada bezanya dengan Zionis Israel. Mereka tidak berani secara terbuka menyatakan sokongan kepada Israel – takut kepada rakyat mereka sendiri. Tetapi perangai dan tingkah laku terhadap warga mereka tidak jauh berbeza daripada apa yang sedang dilakukan oleh Israel terhadap warga Palestin. Apabila kita telah memahami semua ini, saya rasa kita akan dapat melakuan lebih daripada apa yang sedang kita lakukan hari ini. Ada satu perkara yang dapat kita lakukan bersama yang pasti akan memberikan tamparan maut kepada Zionisme. Pekara ini ialah menentang sifat dan fahaman Zionisme di mana sahaja ia muncul dan bertapak. Zionisme pada ketika ini bukan lagi bergerak di Israel atau di Palestin sahaja. Zionisme telah menjadi fahaman yang meluas dan telah melintasi sempadan Israel. Jika sesiapa memiliki ciri-ciri fahaman rasis yang telah dinyatakan tadi bermakna mereka juga pendukung Zionisme. Zionisme ialah kezaliman. Di sini ingin saya nyatakan bahawa kita tidak perlu ke Palestin untuk menentang kezaliman. Apa yang perlu kita lakukan ialah menentang kezaliman dan kejahatan di mana sahaja ia berada, termasuk dalam negara kita sendiri. Zionisme tidak memiliki sempadan. Tetapi, saya agak kecewa apabila melihat orang Melayu berlumba-lumba bangun menentang Isreal yang zalim. Mereka bertempik marah apabila rumah diruntuhkan di Hebron. Tetapi mereka tidak bersuara apabila rumah diruntuhkan di Kampong Berembang atau di Plentong atau di Chubadak. Orang Melayu marah apabila masjid diroboh di Jenin tetapi orang Melayu tidak marah apabila melihat gereja Orang Asli diruntuhkan di Gua Musang. Orang Melayu keluar berdemonstrasi kerana tanah rakyat Palestin dirampas tetapi mereka tidak pula bersuara apabila tanah-tanah Orang Penan dirampas. Mereka tidak pula bersuara apabila tanah adat di Sarawak satu demi satu dirampas oleh pemodal antarabangsa. Hairan. Di mana silapnya fikrah Melayu ini? Kenapa bangsa Melayu memiliki nilai yang setengah jalan? Di mana akal fikrah mereka terputus? Kalau di Palestin mereka yakin rakyat di sana sedang dizalami, kenapa apabila orang Penan dizalimi hati mereka tidak tergerak untuk membantu? Apakah mereka tidak memahami bahawa kezaliman dan kejahatan itu tidak berbangsa dan tidak beragama? Kebaikan dan keadilan juga tidak berbangsa dan beragama. Orang Melayu tidak dapat menerima Ketuanan Yahudi tetapi bagaimana orang Melayu yang sama dapat pula menerima Ketuanan Melayu? Di mana songsangnya fikrah Melayu ini? Apakah mereka telah terputus nilai kemanusiaannya? Justeru sesudah membaca tulisan ini, marilah kita bersama-sama meneliti dan menilai kembali nilai Melayu kita. Apakah kita benar-benar faham tentang kezaliman dan keadilan. Atau kita hanya menjadi pak turut – ber-Gaza ke hulu ber-Gaza ke hilir. Orang bercakap hal Gaza, maka kita pun bercakap hal Gaza tanpa kita melihat ke dalam hati nurani kita sendiri. |