Dalam sepotong hadis ada disebutkan tentang kekuatan ekonomi yang jatuh ke tangan orang-orang yang jahat. Sebenarnya, inilah antara sebab kenapa umat Islam di seluruh dunia tertindas, semakin lemah kekuatan politik dan ekonominya. Apabila orang Islam semakin lemah politik dan ekonominya, secara tidak langsung lemahlah kebudayaan dan bahasanya. Daripada Ibnu Omar r.a berkata: "Pada suatu masa dibawa ke hadapan Rasulullah s.a.w sepotong emas. Dan emas itu adalah emas zakat yang pertama sekali dikutip. Emas itu telah dibawa oleh Bani Sulaim dari tempat tambang (galian) mereka. Maka sahabat berkata: "Hai Rasulullah! Emas ini adalah hasil dari galian kita." Lalu, Nabi s.a.w menjawab, "Nanti kamu akan dapati banyak galian-galian, dan yang akan menguruskannya adalah orang-orang yang jahat." [Hadis riwayat al-Baihaqi.] --- [Hadis ke-26] Menurut keterangan ringkas daripada Ustaz Fahmi Zam Zam.. "Tepat sekali apa yang telah disabdakan oleh Rasulullah s.a.w sejak lima belas abad yang lalu. Hari ini dunia Islam sangat kaya dengan galian bumi seperti emas, perak, timah, petrol dan lain-lain, tetapi yang menguruskan dan yang menguasainya adalah orang-orang yang bukan Islam. Ini adalah suatu realiti yang sangat jelas di mata kita dan merupakan salah satu petanda hampirnya hari kiamat." Kalau kita melihat situsi hari ini, galian emas banyak wujud di Amerika Syarikat. Itu suatu contoh. Namun, dalam sudut lain pula, Tuhan memberikan galian minyak yang banyak terhadap negara Islam. Ternyata yang mengendalikan urusan galian itu adalah orang bukan Islam pula. Contoh ini ada dalam negara kita sendiri. Harta adalah sejenis kekuatan dan ia merupakan salah satu sendi kekuatan agama. Maka hendaklah setiap Muslim, Muslimah selalu berikhtiar untuk mencari kekuatan ekonomi peribadi, menyusun ekonomi keluarga sekali gus membentuk daya ekonomi umatnya. Apabila harta ini jatuh ke tangan lelaki yang soleh, maka separuh daripada masalah dunia akan selesai. Perang-perang di Afghanistan, Iraq yang dicipta oleh Amerika Syarikat telah menelan belanja trilionan, berlaksa-laksa dan hal ini tidak mungkin terjadi jika harta itu jatuh ke tangan orang-orang yang beriman. Harta yang baik di tangan lelaki yang baik Merujuk hadis di atas, ada empat keadaan yang berkaitan dengan harta dan manusia yang memeliharanya. Pertamanya, insan yang baik dan dia memegang duit yang baik. Kedua, insan yang baik, tapi dia memegang duit yang haram. Ketiga, orang yang jahat dan memegang duit, harta yang baik. Keempat, orang yang jahat dan menyelia wang, harta haram. Paling baik, menurut hadis di atas ialah lelaki yang baik dan beliau menjaga harta yang baik. Sementara, keadaan yang buruk ialah apabila ada lelaki jahat yang menyelenggarakan wang, harta yang haram. Sebenarnya wang yang halal atau wang daripada sumber yang tidak baik, akan disalurkan kepada tujuan yang baik juga jika wang, harta itu jatuh ke tangan lelaki yang baik. Manakala di tangan orang yang jahat pula, wang haram atau harta yang baik sekali pun tetaplah dipergunakan pada tujuan yang salah. Kesimpulannya, wang tidak boleh dipersalahkan kerana ia tidak boleh dipertanggungjawabkan ke arah manakah ia dipergunakan. Yang boleh membuat keputusan ke arah mana duit halal atau haram itu dibelanjakan ialah manusia yang menyelenggarakan wang itu tadi. Baik manusia itu, maka baiklah kepenggunaan wang itu. Demikianlah sebaliknya. "Apabila kamu diberi sesuatu tanpa kamu minta, maka pergunakanlah (makanlah) dan sedekahkanlah sebahagiannya." (Muslim) Hukuman ke atas mereka yang tidak menggunakan harta ke arah yang betul memang mengazabkan dan menyakitkan. Kita pernah terdengar kisah bagaimana kaum-kaum dan umat terdahulu yang dihancurkan Tuhan oleh kerana mereka menyalahgunakan harta milik peribadi pada jalan yang salah. Apabila negara itu menggunakan wang-wangnya untuk membangunkan pelacuran sebagai suatu industri perniagaan, menjadikan arak sebagai barang dagangan, maka kehancuran menimpa negara dan kaum itu. Demikianlah peristiwa yang ditulis di dalam al-Quran. Namun, umat Muhammad ini diberikan penangguhan melalui doa Rasulullah s.a.w sendiri. "Mereka yang mengumpulkan harta dengan tidak benar, maka Allah akan memusnahkannya dengan air dan tanah." (Riwayat Al-Baihaqi) Melalui air dan tanah, Tuhan akan menghukum mereka yang tidak menggunakan harta dengan baik, betul dan benar. Qarun di zaman Nabi Musa a.s misalnya telah dihukum Tuhan dengan menenggelamkannya bersama para pengikutnya di dalam tanah. Malah, Fir'aun yang menggunakan harta kekayaannya secara tidak benar, menindas hamba di muka bumi ini telah mati lemas di Lautan Merah. Bani Israel diperhambakan untuk membangunkan pembinaan piramid, dan mereka tidak diberikan upah gaji. Ini adalah salah satu contoh pengendalian harta yang tidak betul. Kaum buruh dan para pekerja itu sepatutnya diberi upah dan gaji. Tetapi, Fir'aun sebaliknya memperhambakan mereka. Apabila harta-harta (emas, minyak dan lain-lain) yang digali dari tanah itu tidak dimanfaatkan dengan baik, maka tanah dan air itu nanti akan bertindak. Apakah kejadian tanah runtuh, banjir yang kerap berlaku itu terkait dengan salahguna wang yang tentunya berkaitan juga dengan salahguna kuasa? Di Amerika Syarikat, kerap kita dengar berita dan kejadian ribut, puting beliung dan banjir yang terjadi besar-besaran di sana. Kita boleh menanggapi hal ini sekadar bencana alam yang tiada kaitan dengan dosa pemimpinnya. Tapi bila kita melihat banyak kejahatan yang bermuara dari negara itu dan kuasa dunia itu mencetak sejarah perang demi perang berterusan, maka terfikir juga bahawa ada rasionalnya ribut taufan, tanah runtuh serta banjir teruk menghempap mereka. Walaupun ada pihak menyatakan bahawa kejadian itu cuma sekadar bencana alam dan bukannya hukuman Tuhan. Perang memerlukan dana yang banyak. Dan, Amerika menyalahgunakan wang untuk perang! Negara itu juga telah 'berkempen' dengan memaksa anak-anak mudanya menyertai pasukan tentera untuk dikirim ke medan perang di Iraq, Vietnam sebelum ini tanpa kerelaan mereka. Amerika dengan segala galian minyaknya, galian emas dan sebagainya telah digunakan untuk memerangi umat Islam sendiri. Maka, demikianlah akibat bagi mereka yang menggunakan wang, harta dan segala galian di bumi dengan tujuan yang salah._ |
Sabtu, 11 April 2009
Galian, kekayaan wajib digali oleh Muslimin
Fahri Abdullah al-Masri
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan