Ahad, 15 Februari 2009

Haram tetap haram tapi...

abie@hmetro.com.my

Sudah banyak diperkatakan pakar agama tetapi segelintir orang kita terutama remaja tidak mengendahkannya. Malah ramai pasangan memilih tarikh ini untuk mengikat kata janji di jinjang pelamin.

Tiada salah tarikh 14 Februari, terpulang kepada niat mereka. Cuma selalunya tarikh itu orang kita akan kaitkan juga dengan Hari Memperingati Kekasih yang dibudayakan dari pengikut Kristian.

Macam-macam kita improvisasikan, kononnya sambutan cinta sempena 14 Februari ini bukan saja untuk kekasih hati tetapi juga kepada keluarga dan sahabat handai. Terpulang kepada nawaitu kerana Tuhan lebih tahu apa yang kita lakukan.

Mahu tidak mahu, dunia hiburan kita lebih terbuka dalam soal meraikan perayaan haram ini (dalam erti kata sambutan sebenar Valentine's Day). Selama hampir 16 tahun bergelumang dengan dunia mereka, sedikit sebanyak saya didedahkan dengan elemen-elemen begini.

Haram tetap haram seperti sesetengah karyawan seni kita yang tahu sangat hukum meminum arak tetapi mereka tidak ambil peduli. Apatah lagi Valentine's Day! Walaupun ketika ini harga bunga ros dan coklat melambung tinggi, demi perayaan itu, mereka ketepikan.

Saya tertarik dengan tulisan teman, Hasliza Hassan dalam Berita Harian kelmarin mengenai sambutan ini. Ada berpendapat usah dibangkitkan isu itu kerana hanya akan menjadi pencetus kepada amalan bercanggah dengan syariat Islam. Namun, ada baiknya dibincangkan perkara ini sebagai peringatan kepada mereka yang memasang niat untuk meraikannya.

Malah, ia sebagai penjelasan kerana ada yang cuba menghalalkan sambutan Hari Kekasih ini supaya perancangan meraikannya tidak dipandang serong dengan pendapat, ia adalah hari untuk menterjemahkan perasaan kasih sayang bukan saja kepada kekasih, malah keluarga serta sahabat.

Hakikatnya, apa juga alasan diberikan untuk membolehkan Hari Kekasih disambut terutama oleh golongan muda Islam, Panel Kajian Aqidah (PKA) dan Panel Kajian Syariah (PKS) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) memutuskan bahawa amalan itu adalah haram dan bertentangan dengan ajaran Islam.

Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia kali ke-71 yang bersidang pada 22 hingga 24 November 2005 memutuskan: "Bahawa amalan merayakan Valentine's Day tidak pernah dianjurkan Islam. Roh perayaan itu mempunyai unsur Kristian, amalannya yang bercampur dengan perbuatan maksiat adalah bercanggah dan dilarang oleh Islam. Oleh itu amalan meraikan Hari Kekasih tidak digalakkan oleh agama Islam."

Empat para di atas saya petik bulat-bulat daripada tulisannya kerana saya rasa bertanggungjawab untuk berkongsi kisah yang sama dengan pembaca Zon Abie. Tidak terniat untuk menghalang mereka yang ingin meraikan Valentine's Day tetapi sebagai insan yang diletakkan sebagai penulis, ini tugas saya.

Untuk anda menyambut Valentine's Day, sambutlah kerana masing-masing mempunyai hala tuju hidup. Kalau yang baik kata hati, baiklah untuk diri anda. Cuma perlu diingatkan juga pepatah Melayu, ikutkan hati, mati. Ikutkan rasa, binasa!

Saya bercakap dalam kapasiti sebagai makhluk Allah dan juga penulis hiburan tanah air. Perasan atau tidak, ketibaan Valentine's Day juga diraikan oleh stesen TV dengan hidangan filem-filem cinta, bagi menyemarakkan lagi perayaan haram oleh umat Islam itu.

Namun sebagai orang TV, saya faham, mereka menjalankan bisnes dan perlu terbuka bukan untuk penonton Islam semata-mata. Bagaimanapun kalau kita memandang daripada perspektif yang berbeza (mungkin dianggap negatif atau konservatif oleh sesetengah kita) mengenai pengaruh TV yang kita tidak nafikan kekuatannya.

Pengaruh itu sebenarnya kalau dijanakan ke arah yang lebih positif, kisah Valentine ini tentunya tidak menjadi besar sehingga membentuk satu budaya di kalangan remaja Islam hari ini. Tidak hanya TV, juga pengaruh media massa!

Macam tulisan saya hari ini, mereka yang membaca tentunya akan ingat Valentine's Day tetapi daripada perspektif yang lain. Seperti kata teman tadi, ada baiknya dibincangkan hal ini sebagai peringatan buat semua!

Hukum Islam jelas dalam hal melarang umatnya meniru atau menyerupai budaya dan cara hidup orang bukan Islam berdasarkan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Sesiapa yang mengamalkan perkara yang bukan daripada amalan kami maka ia akan ditolak." (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Tiada ulasan: